Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kaunter Bergerak Pergigian Dekatkan Masyarakat Orang Asli

By 23 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad

MERSING, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Lebih 200 Orang Asli Kampung Labong, Endau hadir memeriahkan Program Jom Jaga Gigi Peringkat Jabatan Kesihatan (Pergigian) Negeri Johor 2024 di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli (KOA) Labong, di sini semalam.

Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan (KKM) Dr. Noormi Othman, berkata peratus keseluruhan Orang Asli di seluruh negara mendapatkan perkhidmatan kesihatan pergigian adalah masih rendah.

“Program ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Bahagian Kesihatan Pergigian KKM dalam memastikan kesihatan pergigian penduduk Orang Asli sentiasa berada di tahap optimum.

Kaunter pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Jarak yang jauh dari fasiliti pergigian yang terdekat, menjadi kekangan untuk mendapatkan rawatan secara kerap. Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan kesihatan umum yang disampaikan diharap dapat diamalkan dalam kehidupan seharian para penduduk,” katanya.

Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah dalam ucapan perasmian, berkata penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di perkampungan Orang Asli dan di kepulauan Mersing di Negeri Johor dilaksanakan melalui klinik subsidiari oleh anggota kesihatan secara lawatan berkala pada setiap tahun.

“Saya dimaklumkan bahawa program perkhidmatan pergigian bergerak di Pulau Tinggi dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing, Jabatan Maritim, Jabatan Perikanan, Pejabat Kesihatan Daerah Mersing dan Syarikat Southern Lion Sdn. Bhd. yang melibatkan 52 orang kakitangan telah diadakan semalam.

Dif-dif kehormat bersama hadirin yang hadir.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang telah menjayakan program ini. Saya yakin, banyak manfaat dapat diperolehi oleh penduduk setempat di samping mewujudkan masyarakat Mersing yang mempunyai kesihatan pergigian yang baik serta mampu dikekalkan hingga akhir hayat,” ujarnya.

Antara pengisian program adalah persembahan Tarian Sewang KOA Labong, Pertandingan Dental Race SK Labong, Pertandingan Memancing, Karaoke dan Anugerah Khas Gigi Tercantik.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Johor Faisal Long dan Penghulu Mukim Padang Endau Ezwan Jamigoe.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda