Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kuih Siput Bawa Rezeki

By 1 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)

SIK, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Menjelang Syawal, ada sahaja kuih raya moden di pasaran namun begitu ia tidak dapat menandingi kuih tradisional yang tak lapuk di hujan tak lekang di panas iaitu kuih siput.

Bagi pengusaha kuih siput, Siti Norhafisah Dolah, 52, kuih tradisional ini tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu dan dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan setiap kali lebaran tiba.

Norhafisah yang nekad berhenti kerja sebagai pekerja kebersihan di sebuah sekolah di sini, berkata permintaan akan meningkat berkali ganda setiap kali tiba hari raya.

“Saya perlu bekerja lebih 12 jam sehari malah kadang kala terpaksa mengorbankan waktu tidur bagi memastikan tempahan yang diterima dapat sampai ke tangan pelanggan sebelum ketibaan 1 Syawal.

Mengimbau permulaan perniagaannya, bermula secara sambilan kini Norhafisah mampu tersenyum lebar apabila hasil jualan mencecah hampir RM30 ribu sebulan.

“Di awal perniagaan saya hanya dibantu oleh suami dan anak-anak, kemudian apabila tempahan semakin banyak saya perlu tambah pembantu. Kini saya mempunyai dua orang pembantu yang bertanggungjawab dan membantu melancarkan operasi jualan.

Katanya lagi, dia telah mempunyai mesin menguli adunan dan mesin membentuk kuih siput daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)

“Kerja-kerja menyediakan kuih tradisional ini menjadi lebih cepat dan tidak seteruk dahulu,” katanya.

Selain RISDA, ibu kepada dua orang cahaya mata ini juga mendapat bimbingan dan bantuan pelekat perniagaan balang serta lain-lain mesin daripada Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Selain pasaran tempatan, kuih siput ini juga sudah memasuki pasaran luar negeri termasuklah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan juga Perak,” ujarnya lagi yang ditemui di kediamannya di Kampung Lubuk Tualang, di sini semalam.

“Biasanya pelanggan yang membuat promosi. Apabila sudah merasa kuih siput kami, mereka terus menjadi pelanggan tetap dan ejen sekali gus membantu memasarkannya,” kata Penerima Anugerah Ikon Wanita Terbaik Program Yayasan Petronas empower NCER ini lagi.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan biskut raya moden yang lain tetapi saya optimis kuih tradisional masih mempunyai peminatnya yang tersendiri,” ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda