Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Jalan Tikus Undang Pengalaman Tak Dilupakan

By 16 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/FB Zairul Annuar

IPOH, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Siapa sangka perjalanan pulang selepas bercuti raya bakal mencipta satu pengalaman yang takkan dilupakan. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki bersama keluarganya dan turut disaksikan oleh pengguna jalan raya yang lain akan betapa manisnya hidup berbilang kaum di bumi Malaysia.

Zairul Annuar, 47, seperti mana yang dikongsikan di facebook miliknya, berkata segalanya bermula apabila perjalanan menuju ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan mengikut jalan dalam akibat kesesakan di lebuh raya.

“Awalnya kami menggunakan lebuh raya dari Simpang Pulai menuju ke arah selatan. Namun oleh kerana jalan terlalu sesak, kami terpaksa masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.

“Di sepanjang perjalanan, kami telah menggunakan aplikasi Google Maps (GM). Alhamdulillah, aplikasi tersebut sentiasa memberikan notifikasi terkini berkenaan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Namun, sebaik menghampiri kawasan Ladang Bikam, Zairul sekali lagi terpaksa mengubah haluan disebabkan kesesakan teruk yang berlaku di hadapan. Jalan pintas atau jalan tikus yang disyorkan GM membawanya melalui jalan kampung yang akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan kecil.

“Selepas melewati perumahan itu, kami sampai di jalan yang tidak bertar, masuk ke ladang kelapa sawit yang gelap. Kami melanjutkan juga perjalanan perlahan-lahan. Kelihatan beberapa kereta dari arah bertentangan dan mereka berhenti di samping kami sambil memberitahu jalan di hadapan tak dapat digunakan,” kongsinya.

Setelah berpatah balik, Zairul berkata tiba-tiba kereta mereka diberhentikan oleh sekumpulan lelaki berbangsa Cina. Seorang lelaki pertengahan umur mengarahkannya agar tidak berpatah balik dan menunggu sebentar kerana mereka akan membaiki jalan tersebut menggunakan jengkaut.

Setelah diamati, Zairul mendapati kawasan tersebut adalah kawasan perumahan Cina. Penduduk di situ bersepakat membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melalui kawasan perumahan mereka.

“Ini kerja sekejap saja. Jalan ada sikit bukit, susah kereta biasa mahu jalan, 4WD (pacuan empat roda) saja boleh, sekarang kita bagi rata, jadi semua orang boleh jalan. Tapi ini jalan tak ada internet sajalah,” ujar seorang lelaki.

Pengalaman itu pastinya menyentuh hati bahkan Zairul sendiri meluahkan rasa terharu atas sikap peduli penduduk Cina di situ dalam memudahkan perjalanan mereka khususnya orang Melayu yang mahu pulang ke ibu kota.

Sehingga kini, perkongsian di facebook yang dimuat naik sejak kelmarin itu telah meraih hampir 10,000 tanda suka dengan pelbagai komen positif diterima.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda