Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jangan Salah Guna Visa, Peka Info Penipuan Pekerjaan Luar Negara

By 27 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/Berry Taimin (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Isu penyalahgunaan visa dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkembara ke luar negara bukan perkara baru malah masih berlaku sehingga ke hari ini.

Pengarah Pejabat Wilayah Sabah, Kementerian Luar Negeri (KLN) Mohd Shahafeez Shaharis, memberitahu antara kesalahan yang kerap direkodkan melibatkan rakyat Malaysia bekerja di negara asing menggunakan visa pelancong.

Tegasnya, masyarakat yang berhasrat untuk bekerja di luar negara dinasihatkan untuk menggunakan lunas-lunas perundangan yang sah bagi mengelakan berdepan tindakan undang-undang serius di negara terbabit.

“Jika berlaku tangkapan melibatkan rakyat Malaysia, pihak kedutaan memang akan memastikan kebajikan rakyat dipenuhi, bagaimanapun sistem perundangan di negara berkenaan masih berkuatkuasa dan perlu dipatuhi seperti rakyat yang lain.

Shahafeez menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Geraldine Voo.

“Justeru adalah penting juga untuk kita memaklumkan kepada pejabat perwakilan negara samada melalui sistem e-Konsular atau emel di laman sesawang Kementerian Luar Negeri sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan,” ujarnya semasa sesi podcast Kanou Misorita anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Shahafeez menyeru agar masyarakat peka dengan sebarang maklumat berhubung penipuan pekerjaan bertapak di luar negara yang turut menyasarkan warga tempatan dari pelbagai peringkat umur sebagai mangsa.

“Terdapat juga pihak ketiga (penipuan pekerjaan) yang mengambil kesempatan memperdaya orang ramai dengan menawarkan pekerjaan dengan gaji yang tinggi di luar negara tetapi tidak mengikut proses yang sah seperti dimaklumkan pihak berkuasa.

“Bagi masyarakat yang berhasrat bekerja di negara asing, boleh merujuk kepada pihak berkenaan di Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan tawaran diterima itu adalah daripada syarikat yang berdaftar termasuk syarikat yang beroperasi di dalam negara,” ujarnya.

Untuk rekod, seramai 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dari tahun 2021 hingga 23 Februari 2024, manakala 133 orang masih terkandas di luar negara.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda