Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) melaksanakan Kempen Op Selamat 22 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula semalam hingga 13 April ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menyatakan pasukan beliau akan memberikan tumpuan kepada enam kesalahan utama pada Op Selamat kali ini, iaitu penggunaan telefon bimbit, memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat.
“Tindakan saman serta merta bernilai RM300 akan dikenakan terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan utama tersebut dan tiada diskaun baginya,” tegas Rusdi.
Timbalan Ketua JSPT KL, Supt Suffian Abdullah semalam telah turun padang mengadakan walkabout di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR yang sering menjadi tumpuan orang ramai menjelang Aidilfitri untuk membeli kelengkapan hari lebaran.
Di samping meninjau kawalan lalu lintas di Jalan TAR dan kawasan sekitar Pusat Beli Belah SOGO KL, Suffian bersama Ketua Cawangan Dasar Strategi PERKESO, Mohd Razmi Khalid telah mengedarkan cenderahati dan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya dan pengunjung di situ sambil menasihati mereka agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah semasa perjalanan serta mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan bersama.
JSPT KL akan memastikan kawalan lalu lintas di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur lancar dan keselamatan harta benda terjaga selaras dengan tema kempen Op Selamat siri ke-22 pada kali ini, ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya lebih cakna tentang aspek keselamatan kenderaan selain memastikan pemandu mendapatkan tidur yang secukupnya sebelum perjalanan.
-AA-