Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Tawaran Harga Runtuh Bantu Rakyat Jimat Perbelanjaan Aidilfitri

By 9 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR dan kawasan sekitarnya termasuk Pusat Beli Belah SOGO KL dan Masjid India tetap menjadi tumpuan orang ramai menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut esok.

Walaupun kebanyakan warga kota telah pulang ke kampung, kemeriahan membeli belah di saat akhir ditambah dengan tawaran harga runtuh menjadikan Jalan TAR dibanjiri orang ramai membeli kelengkapan hari raya.

Tinjauan Malaysiaaktif semalam mendapati rata-rata peniaga di situ membuat pelbagai promosi bagi menarik minat pembeli ke gerai jualan masing-masing.

Aisyah Mohd Khalid, 29, berkata dia membeli persiapan hari raya semalam setelah beberapa kali tinjau harga agar dapat menjimatkan perbelanjaan raya.

“Biasanya saya akan datang sini dua tiga kali semasa bulan puasa untuk buat tinjauan harga. Hari ini saya tengok harga yang ditawarkan jauh berbeza dengan harga asal pada awal Ramadan. Amat berbaloi untuk saya berbelanja hari ini,” jelas Aisyah.

Pekerja swasta, Farid Abdullah, 39, dan isterinya, Nur Najwa Mustapha, 35, menyatakan mereka memang suka membeli kelengkapan raya pada saat akhir.

“Kami memang tiap-tiap tahun akan ‘shopping raya last minute’ sebab harga lebih murah dan senang untuk tawar menawar dengan peniaga,” katanya.

Tawaran harga runtuh bukan sahaja membantu peniaga menghabiskan stok jualan, malah ianya juga bantu rakyat menjimatkan perbelanjaan buat persiapan hari lebaran.

-AA-

Tinggalkan komen anda