Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Kisah Tular Bukti Perpaduan Kaum

By 22 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Muhamad Amsyar (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 22 Apr (MalaysiaAktif) – “Niat kami hanya mahu membantu, tidak sangka ia tular dan diperkatakan di seluruh negara,” ujarnya.

Demikian kenyataan salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 50, berkenaan kisah tular mereka membaiki jalan alternatif bagi pengguna yang pulang beraya minggu lalu.

“Kami tolong sedikit sahaja, hanya membuat pembaikan mengikut kemampuan kami tanpa niat mengharapkan apa-apa balasan.

“Apabila melihat banyak kereta berpatah balik kerana jalan alternatif di ladang kelapa sawit tersebut tidak dapat dilalui, kami berkumpul dan berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu.

“Ada kawan yang mendapatkan jentolak dan terus ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menambak tanah dengan bantuan lampu motosikal beberapa penduduk yang lain,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Palawan, Chin Yoon Kwang berkata perasaan ihsan dan persaudaraan yang kuat membuatkan mereka sekumpulan melakukan inisiatif itu dan berharap agar peristiwa ini sedikit sebanyak dapat menjernihkan suasana di Malaysia yang baru-baru ini berhadapan dengan isu yang menyentuh soal agama dan perkauman.

“Apa yang kami lakukan adalah cerminan semangat perpaduan tidak mengira kaum dan agama sekali gus menepati saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan masyarakat madani yang harmoni,” tambahnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda