Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pesta Songkran, Permulaan Tahun Baharu Disambut Meriah oleh Masyarakat Siam

By 16 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Sejak awal pagi, masyarakat di sekitar kawasan Kampung Tong Prok, Pendang telah mula berhimpun di Watt Tong Phru, Kampung Tong Prok bagi meraikan acara tahunan dalam kalendar Masyarakat Siam untuk sama-sama menyambut Tahun Baharu yang diadakan pada pertengahan April setiap tahun.

Songkran merupakan acara meraikan perjumpaan ahli keluarga dan memberikan penghormatan kepada orang yang lebih tua, nenek moyang dan imej Buddha suci.

Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Tok Set, Ie Reang Huan, selepas selesai acara sembahyang di Watt, penduduk tempatan yang hadir memberikan makanan yang siap dimasak dan dibawa dari rumah kepada seramai 10 orang Sami yang hadir semalam.

“Selepas itu, acara diteruskan dengan menyiram air dan memandikan patung Buddha selain bersalaman memohon kemaafan oleh golongan muda kepada warga emas,” jelasnya.

Setiausaha Komuniti MADANI Kampung Tok Set selaku penyelaras program Arom Eli, berkata aktiviti menyiram air ini menjadi satu tradisi Pesta Songkran yang diadakan setiap kali menyambut tahun baharu di Thailand dan pesta ini turut disambut juga dalam kalangan masyarakat Siam di negara kita.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi meraikan kepercayaan tradisi masyarakat Siam ini, agar masyarakat dapat saling memahami dan meraikan perbezaan secara bersama,” katanya.

Majlis yang dimulakan pagi semalam itu diceriakan lagi dengan persembahan nyanyian oleh masyarakat tempatan dan acara menyiram air kepada satu sama lain.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda