
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Bazar Karat Johor Bahru dipilih sebagai lokasi perintis bagi menjayakan Program Inisiatif Pendigitalan Pasar Tanpa Tunai Jajahan Rakyat oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Kerajaan Johor, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Pasar Bazar Karat Johor Bahru (PPKBK).

Mohd Hairi ketika menyampaikan ucapan perasmian di hadapan 700 orang yang hadir pada Program Inisiatif Pendigitalan Pasar Tanpa Tunai Jajahan Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah, berkata penglibatan hampir 300 peniaga Bazar Karat Johor Bahru ini membolehkan mereka memanfaatkan kemudahan teknologi digital yang disediakan oleh Bank Rakyat sekali gus dapat mempromosikan produk dan meningkatkan pendapatan mereka.
“Adalah menjadi harapan saya agar setiap peniaga dapat mengambil peluang keemasan ini untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi.

Turut disampaikan Skim Pembiayaan BRJohorNiaga yang mendapat kerjasama daripada Bank Rakyat dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).
“Kerajaan Johor mengharapkan medium seperti ini akan dapat digunakan dengan sebaik mungkin oleh peniaga dan pembeli bagi memastikan era digital tanpa tunai ini mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya ketika majlis perasmian di Bazar Karat Johor Bahru, di sini kelmarin.
Turut hadir Pengarah Eksekutif PUJB Mohd Radzi Mohd Amin, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat dan Pengerusi Persatuan PPKBK Fuad Rahmat.
-ZS-