
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/DBKL (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Sembilan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terlibat dalam insiden pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur sekitar pukul 3.26 petang semalam.

Sebuah kenderaan pengiring PDRM yang terlibat dalam insiden pokok tumbang semalam.
Kejadian yang berlaku susulan hujan lebat dan ribut di ibu negara itu telah menyebabkan kerosakkan terhadap tiga kereta dan lima motosikal milik orang awam tetapi tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa kenderaan pengiring PDRM yang terbabit itu merupakan konvoi ‘lead car’ Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
“Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian ini kepada pemandu dan penumpang kenderaan terlibat,” jelas Rusdi dalam satu kenyataan semalam.

DBKL telah menggerakkan seramai 20 anggota ke lokasi kejadian.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan, pihaknya telah menggerakkan seramai 20 anggota Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan dan pengalihan pokok tumbang itu.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa turut telah mengarahkan DBKL untuk mengambil tindakan segara menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi di Kuala Lumpur.
-ZS-