Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PBT Perak, JBPM Meriahkan Sambutan Aidilfitri Parlimen Teluk Intan

By 5 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/FB Woo Kah Leong

TELUK INTAN, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan yang berlangsung di Dewan Bandaran, Jalan Speedy, di sini kelmarin disambut meriah dengan kehadiran orang ramai menikmati juadah dari reruai yang dibuka oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri selain menu istimewa ‘Fire Kitchen’ oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming berkata bulan Syawal merupakan bulan kemenangan kepada umat Islam dan majlis muhibah meraikan Aidilfitri ini menjadi lambang perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Warga Teluk Intan harus menjadi contoh teladan dalam usaha menjadikan bandar ini bukan sahaja sebagai bandar paling bersih tetapi menjadi bandar paling harmoni di Malaysia,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis.

Pesara guru dari Kampung Padang Tembak, Wan Zalila Wan Husain, 60, berkata ini merupakan kali pertama dia menghadiri majlis sambutan mega rumah terbuka seperti itu.

Kor Ming ketika berucap

“Tahun ini secara kebetulan ketika melalui kawasan ini, apabila melihat banyak khemah tersusun, hati saya rasa teringin menyertai kemeriahan hari raya bersama warga Teluk Intan yang lain.

“Saya juga gembira mendengar peruntukan yang diumumkan oleh Menteri KPKT untuk pembangunan sekolah, masjid dan surau di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Jeyaa Krishnan, 38, mengakui rasa teruja dan gembira dapat hadir ke majlis rumah terbuka tersebut.

“Juadah yang disajikan memang semuanya menarik dan sedap. Menu paling istimewa ialah laksa dari Majlis Daerah Selama dan mi kari yang dibawakan oleh Majlis Daerah Tapah,” tambahnya.

Wan Zalila hadir bersama anak dan cucu

Pada majlis sama, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi pelaksanaan projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur melibatkan jambatan, sekolah, masjid dan surau di kawasan Parlimen Teluk Intan.

-AA-

Tinggalkan komen anda