Laporan/foto: Lim Poh Choo/Chua Shim Choon (Sarawak)
KUCHING, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Kawasan Batu Kawa bakal berubah wajah menjadi sebuah bandar satelit yang sekali gus akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata ia akan lebih pesat dengan pembangunan baharu antara Kawasan Kuching dan juga Bau.
“Misalnya Bau sekarang ini dalam proses pembangunan sebagai kawasan pelancongan dengan Batu Kawa juga terletak strategik di tengah kawasan tersebut.
“Jadi ini bermakna sudah tentu Batu Kawa akan turut berubah bukan sahaja berubah wajah tetapi menjadi bandar satelit di tengah-tengah pembangunan yang berlaku antara Kuching dan Bau,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho, di sini semalam.
Sementara itu, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawa Siti Nadrah Abdul Samat, 28, yang turut membawa anak muridnya menghadiri majlis perasmian ini, berkata adalah sangat bagus kawasan Batu Kawa bersedia untuk menjadi tuan rumah Pusat Hab Inovasi di bawah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
“Ia membantu memupuk peluang pembangunan ekonomi untuk belia disebabkan di sini ramai anak muda dan banyak juga sekolah termasuk daripada murid kami sendiri yang saya rasakan mereka ini akan mendapat banyak peluang di sini,” katanya.
-ZS-