Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

JaPen, PDRM, SKMM Tingkat Kesedaran Bahaya Jenayah Siber

By 4 Oktober 2024Oktober 6th, 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohamad Ezwandi (Perak)

TELUK INTAN, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Jenayah siber menjadi ancaman baharu era digital yang tidak hanya memberi kesan kepada seseorang individu bahkan berupaya mengganggu-gugat dan mengancam kesejahteraan masyarakat dan negara.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Perak Yosri Abu Mahsin dalam perkongsiannya, berkata prasarana teknologi maklumat yang dibangunkan oleh kerajaan adalah suatu usaha yang amat murni untuk membangunkan negara namun ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi teknologi tersebut untuk mencuri wang daripada rakyat.

Kesemua peserta bergambar kenangan sebelum program berakhir.

“Dalam konteks ini, peranan JaPen di peringkat negeri dan persekutuan adalah dengan menjalankan kempen kesedaran bahaya jenayah siber menerusi program bersemuka dan menggunakan platform media siber supaya maklumat yang dikongsi dapat merentasi khalayak sasaran yang lebih luas dalam masa yang singkat.

“Kita juga berharap penubuhan Komuniti MADANI melalui ahli-ahli komuniti dapat menyokong usaha kerajaan dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan penipuan siber ke seluruh pelosok negeri,” katanya pada program Bicara Santai Komuniti Influencer@JAPEN yang berlangsung di Hotel Rivertel, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri pula, berkata walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak ketinggalan kempen-kempen oleh JaPen dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) namun apa yang paling malang dan menyedihkan, masih wujud mangsa yang tidak tahu langsung tentang jenayah penipuan siber ini.

“Saya ingin mengingatkan masyarakat agar jangan mudah terpedaya dan tidak melayan panggilan daripada individu atau nombor yang tidak dikenali.

“Amalkan sikap berhemah ketika menggunakan internet, elakkan menekan sebarang pautan sembarangan selain memuat turun aplikasi Whoscall atau Truecaller sebagai langkah mengenal pasti pemanggil tidak dikenali,” katanya.

Antara AJK Komuniti MADANI yang hadir.

Sementara itu, Pengarah Kawal Selia SKMM Perak Akmal Hamdy Baharudin, berkata SKMM memainkan peranan utama dalam memacu industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dalam aspek kawal selia dan pembangunan.

“Kerangka kawal selia baharu membabitkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet telah diperkenalkan oleh kerajaan pada 1 Ogos lalu dan akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2025 ini merupakan antara tindakan tegas yang dilakukan oleh kerajaan hari ini bagi memerangi jenayah siber,” ujarnya.

Bagi Setiausaha Komuniti MADANI Sungai Manik Mohd Noor Yaakub, usaha giat yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani jenayah siber ini dapat kita lihat tetapi ia masih tidak mencukupi kerana sebahagian besar masyarakat atau pengguna internet kurang kesedaran tentang langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan siber.

“Inisiatif JaPen dalam memperkasa Komuniti MADANI amat dialu-alukan kerana pada pandangan saya, Komuniti MADANI mampu menjadi platform terbaik untuk membantu kerajaan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber dalam kalangan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda