Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Raikan Tradisi dan Budaya: Fiesta Loma 2024 Meriahkan Gerik

By 8 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)

GERIK, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Fiesta Loma 2024 di Dataran Loma, Kuala Rui, di sini berjaya memukau pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik dan penuh tradisi.

Program selama tiga hari bermula 4 Oktober itu merupakan penganjuran kali kelima selepas ia pertama kali diadakan secara rasmi pada tahun 2020 yang menampilkan pertandingan berakit sebagai acara utama.

Raja Muda Perak berkenan menyempurnakan gimik perasmian penutup Fiesta Loma 2024. Turut serta Datuk Salbiah Mohamed (bertopi).

Sebanyak 80 pasukan bertanding dalam tiga kategori rakit iaitu kategori Agensi, Terbuka dan Kampung serta penyertaan kali ini lebih istimewa dengan kehadiran pasukan dari negara jiran iaitu Thailand yang turut menyemarakkan persaingan.

Pengunjung, Nur Syafikah Che Hassan, 26, berasa gembira program sebegini dianjurkan di Gerik.

“Penganjuran program ini secara tidak langsung membantu menjana pendapatan khususnya kepada penduduk luar bandar selain mempromosi Gerik sebagai gerbang kepada alam semulajadi,” katanya.

Bagi Hazrol Mohd Rodzi, 28, pula berpendapat program sebegini perlu dianjurkan dengan lebih kerap selain mempelbagaikan lagi konsep atau acara sedia ada.

“Penganjuran ini diharap dapat menyumbang kepada ekonomi daerah ini sekaligus mengangkat Gerik sebagai daerah yang kaya dengan khazanah dan alam sekitar yang menarik,” ujarnya.

Kemeriahan pertandingan berakit sempena Fiesta Loma 2024.

Selain pertandingan berakit, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai acara tradisi seperti pertandingan sauk loma, sukan rakyat, panjat tiang licin dan pertandingan aspek wanita seperti memasak dan gubahan.

Menariknya, program ini diserikan lagi dengan keberangkatan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa yang turut berkenan merasmikan majlis penutup Fiesta Loma 2024, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor Datuk Salbiah Mohamed.

-ZS-

Tinggalkan komen anda