Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Atlet Para SUKMA Labuan Pamer Pencapaian Membanggakan

By 5 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) Labuan mempamerkan pencapaian yang membanggakan dalam Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, atlet Para SUKMA Labuan memungut sebanyak tiga pingat emas, tiga pingat perak dan satu gangsa yang menjadikan keseluruhannya tujuh pingat melibatkan lima orang atlet.

Zaliha (tiga dari kiri) menyampaikan insentif kemenangan kepada pemenang pingat emas yang juga pemegang rekod baharu acara 100 meter Wanita T36, Rozabell Rozell Parinus

“Walaupun dengan kekuatan kontinjen hanya 33 orang atlet dan 22 orang pegawai, kontinjen Para SUKMA Labuan mampu memenangi pingat sekali gus mengatasi jumlah pungutan pingat berbanding pada tahun 2022 dengan hanya memenangi dua pingat emas.

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada atlet-atlet untuk sama-sama memajukan pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan Labuan ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Atlet Para Sukma Wilayah Persekutuan Labuan 2024, di sini semalam.

Pada majlis itu beliau menyampaikan insentif kemenangan sebanyak RM3,000 bagi penerima pingat emas, pingat perak RM1,200, pingat gangsa RM800 dan jurulatih bagi pingat emas sebanyak RM1,000.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan kejayaan kutipan pingat, kerajaan persekutuan di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan telah memperuntukan sebanyak RM16,400 insentif kemenangan kepada kontinjen Para SUKMA Wilayah Persekutuan Labuan.

Barisan kejurulatihan turut mendapat pengiktirafan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Insentif ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada atlet-atlet Para SUKMA Labuan yang telah menunjukkan kejayaan dalam Para SUKMA Sarawak XXI dan atlet yang mewakili negara seperti adik Avrinda Anis dalam Sukan Boccia dan saudari Asmaliza Tuah dalam Sukan Lawn Bowls.

“Saya difahamkan juga bahawa saudara Mohd Amin Burhanuddin yang telah mewakili Malaysia semasa Sukan Paralimpik Paris 2024 juga sebelum ini merupakan atlet Para SUKMA Labuan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda