Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Batu Pahat Siap Siaga Hadapi Bencana Banjir

By 24 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir/Ahmad Nur Zahidi Mairop (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Lebih kurang 500 orang peserta telah mengikuti Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara Daerah Batu Pahat bagi menghadapi musim banjir.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata tujuan latih amal ini agar dapat melahirkan komuniti yang sentiasa berdaya tahan untuk menjaga nyawa juga harta setiap masa dalam menghadapi bencana.

Noraini hadir merasmikan program.

“Kita lihat keprihatinan Kerajaan MADANI daripada dulu lagi tidak berhenti sentiasa berusaha untuk memastikan setiap mangsa bencana mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada semua agensi penguatkuasaan bencana.

“Saya juga menyarankan semua penduduk di kawasan berisiko supaya memuat naik aplikasi Sistem Info Bencana JKM 3.0 untuk mendapatkan maklumat terkini bencana di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, di sini semalam.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong, menambah program ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan kolaborasi seluruh agensi kerajaan dan komuniti yang terlibat dalam memastikan pengurusan bencana menjadi lebih tersusun dan lebih cemerlang di masa akan datang.

Saringan kesihatan merupakan aspek penting yang perlu dilalui oleh mangsa banjir sewaktu di pusat pemindahan sementara (PPS).

Noraini turut memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM12.06 juta dan peruntukkan ini telah disalurkan ke semua negeri.

Daripada peruntukkan ini, sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada negeri Johor bertujuan sebagai persediaan keperluan pembelian ataupun pembekalan makanan dan barangan keperluan bantuan mangsa bencana.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Khairul Shahril Idrus dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Johor Pathmanathan R.Nalasamy.

-ZS-

Tinggalkan komen anda