Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Labuan Connect! 2024 Rapatkan Jurang Digital

By 24 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Program Labuan Connect! 2024 bertujuan untuk merapatkan jurang digital, mempromosikan inovasi dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran serta alat yang mereka perlukan untuk berjaya dalam era digital hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin Labuan Connect! 2024 adalah satu visi, satu gerakan dan satu komitmen teguh Kementerian Komunikasi untuk memanfaatkan kuasa transformasi teknologi demi kebaikan komuniti.

Semua wakil agensi dan komuniti bergambar kenangan.

“Dengan meningkatkan kesalinghubungan di seluruh Labuan, kami berhasrat memastikan semua orang tanpa mengira lokasi atau latar belakang mempunyai akses kepada alat dan sumber yang diperlukan untuk menyertai ekonomi digital.

“Program ini memperkenalkan teknologi terkini sambil mendidik komuniti kita tentang kepentingan keselamatan siber dan persekitaran digital yang selamat untuk membina kepercayaan serta daya tahan dalam dunia yang semakin terhubung,” katanya semasa merasmikan program itu yang dianjurkan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau, di sini semalam.

Katanya lagi, melalui inisiatif yang disasarkan Kementerian Komunikasi akan menyokong golongan muda, usahawan dan perniagaan tempatan dalam mengadaptasi teknologi untuk berkembang, berinovasi dan berjaya.

Nik Kamaruzaman (dua dari kiri) beramah mesra bersama usahawan NADI.

“Penjenamaan semula People’s Digital Initiative atau Pusat Ekonomi Digital (PEDi) kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berkuatkuasa pada 1 Mac lalu adalah cerminan komitmen MCMC dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan.

“Peruntukan RM100 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk memperkukuh pusat-pusat ini dalam tempoh lima tahun akan datang mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan Malaysia yang inklusif secara digital,” katanya.

Tambahnya BERNAMA turut memainkan peranan besar sebagai agen pembangunan transformasi digital dalam kalangan masyarakat.

“BERNAMA sebagai agensi berita nasional memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman awam mengenai transformasi digital melalui pendidikan, advokasi dan pengukuhan inisiatif utama bagi memastikan mesej inklusiviti serta kemajuan sampai ke setiap pelosok negara,” katanya.

Antara pengisian Labuan Connect! 2024 adalah Kuiz Digital, Aktiviti Interaktif, Jualan Rahmah MADANI, reruai Usahawan NADI dan Sudut Bacaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda