Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan Malaysia terus memberi perhatian serius terhadap kebajikan bekas anggota tentera yang telah berjasa kepada negara melalui pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, berkata kerajaan telah berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada bekas tentera dan balu melalui beberapa insentif seperti skim saguhati bulanan, skim kesihatan, perumahan, serta bantuan dana untuk memajukan sosio-ekonomi mereka.
“Keprihatinan dan komitmen kerajaan terhadap bekas anggota tentera sangat dihargai, dan beberapa skim kebajikan telah diwujudkan oleh kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya di Program Veteran Desa Madani (PVDM), di sini semalam.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah Tanah Merah bertujuan memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa serta pelbagai skim kebajikan yang disediakan oleh kerajaan untuk anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Veteran Komando ATM Negeri Kelantan, Radin Kaimin Tukol, 51, menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan dan menyokong penuh usaha kerajaan dalam memberikan kemudahan kepada veteran tentera.
Bagi Hasim Haris, 68, dari Kampung Manal 1, di sini dan telah berkhidmat 22 tahun dalam ATM menyifatkan program ini sebagai peluang untuk bertemu semula dengan rakan-rakan lama yang pernah berkhidmat bersama walaupun kini menggunakan kerusi roda akibat kemalangan, beliau tetap bersemangat untuk hadir dan menyertai program tersebut.
Turut hadir Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Muzamil Ali, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah Mohd Zamry Mamat dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bechah Laut Rohani Mohamad.
-ZS-