Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

250 Ribu Banjiri TOK 2024

By 11 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)

ALOR SETAR 11 Nov (Malaysiaaktif) – Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 kali ini mendapat sambutan yang sungguh meriah apabila dibanjiri seramai 250 ribu orang pengunjung.

TOK 2024 yang bermula 7 November lalu dan berakhir malam tadi di Perkarangan Stadium Darul Aman, di sini merupakan program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melalui Kumpulan Bangsawan Sri Kedah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Kedah dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd.

Pertunjukkan silat.

Bertujuan untuk mengangkat, memartabat dan menyemarakkan seni budaya dan warisan negeri Kedah kepada segenap lapisan masyarakat, ianya juga merupakan usaha untuk merancakkan lagi industri pelancongan negeri seiring dengan Kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan langkah awal memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selepas lima tahun tidak diadakan, temasya ini kembali dengan kerjasama Fantastic Food Festival By Kak Nab 8.0 menjadikan acara ini lebih meriah dengan pelbagai pengisian baharu seperti festival makanan viral, penampilan pempengaruh terkenal menjadikan acara ini bukan saja tumpuan kepada penduduk tempatan malah pelancong dari seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris, pengisian Santapan Rohani Kedah Berselawat Serata-Rata juga diadakan di mana persembahan tausiyah oleh ulama terkemuka seperti Tuan Guru Syeikh Zainul Asri Haji Romli menambahkan dimensi rohani pada temasya tersebut.

“Secara keseluruhan, TOK 2024 bukan sahaja bertujuan untuk melestarikan warisan budaya Kedah, tetapi juga untuk memperkukuhkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Program ini menggalakkan penyertaan komuniti tempatan termasuk penggiat seni dan usahawan kecil serta dapat mempromosikan warisan budaya negeri,” katanya semalam.

Antara kelainan utama TOK 2024 kali ini ialah pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR) Pengiring Tetamu Kehormat Teramai yang melibatkan himpunan 1,000 orang pesilat dari pelbagai perguruan.

Antara kumpulan yang menyertai Pertandingan Lenggok Oghang Kedah.

“Ia juga sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain mengukuhkan seni dan budaya.

“Program ini juga menggalakkan perpaduan komuniti melalui penyertaan aktif penggiat seni, usahawan tempatan dan masyarakat setempat,” katanya.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang temasya ini berlangsung termasuk Pameran Tanjak Negeri Kedah, demontrasi masakan Oghang Kedah, pencungkilan bakat melalui si cilik, sukan rakyat dan permainan tradisional serta Pertandingan Lenggok Oghang Kedah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda