Laporan/foto: Khairul Akmal Ahmed
PASIR MAS, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI di daerah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli menyambut baik Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan.
Akta ini dikuat kuasa bertujuan untuk membentuk tingkah laku dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kawalan produk merokok serta penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam.
Taklimat mengenai Akta 852 disampaikan oleh Pegawai Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas kepada komuniti setempat menerusi program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam mengenai fungsi dan impak akta tersebut terhadap masyarakat.
Melalui akta dan penguatkuasaan yang lebih ketat, peserta yang hadir berharap kesedaran mengenai bahaya merokok akan meningkat, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada asap rokok, terutama di kawasan awam yang sering menjadi tumpuan orang ramai.
Menurut seorang peserta dari daerah ini Marzukie Akie, 58, Akta 852 amat penting dalam usaha mengurangkan kadar merokok, terutama di tempat-tempat awam seperti kedai makan yang dianggap tidak sesuai untuk aktiviti merokok.
“Akta ini sangat relevan kerana ia membantu memastikan tempat makan menjadi lebih selesa dan selamat, terutamanya bagi ibu bapa dan kanak-kanak yang biasanya terdedah kepada asap rokok.
“Penguatkuasaan seperti ini pastinya memberi rasa lebih selamat di restoran dan tempat makan awam,” ujarnya.
Zulkifli Zakaria, 60, menganggap program taklimat ini sebagai langkah yang baik untuk Komuniti MADANI mendapatkan maklumat yang tepat mengenai Akta 852 dan menyokong sepenuhnya usaha penguatkuasaan yang terkandung dalam akta tersebut.
“Program seperti ini sangat bermanfaat untuk memberi pengetahuan yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai larangan merokok dan penggunaan rokok elektronik atau vape.
“Dengan adanya kemas kini poster larangan yang disediakan oleh Jabatan Kesihatan, kita dapat melihat komitmen yang serius terhadap kesihatan awam. Merokok dan vape memang sangat berbahaya bagi kesihatan dan penguatkuasaan seperti ini adalah langkah yang tepat,” katanya.
-ZS-