Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

KRT Seri Manjung VII Jadi Model RT Progresif

By 22 November 2024November 29th, 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Fakhri Md. Nor/Muhammad Rafiq Abdullah (Manjung)

MANJUNG, 22 Nov (Malaysiaktif) – Keberkesanan peranan Rukun Tetangga (RT) hanya dapat dicapai melalui sifat kebersamaan, pengupayaan dan daya kepimpinan komuniti serta tatakelola tadbir urus yang cekap daripada pelbagai pihak.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam usaha memperkasa dan memperkukuh peranan RT sebagai penggerak komuniti, telah mengambil langkah menjenamakan semula RT terpilih untuk menjadi model perintis bagi mencapai maksud tersebut.

Jawatankuasa RT Progresif Seri Manjung VII (Fasa 1D1, 1D2, 1D3) ketika ditemu bual.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Manjung VII (Fasa 1D1, 1D2, 1D3) Muaseh Sadun, 71, berkata RT ini merupakan satu-satunya daripada 53 buah RT di daerah Manjung yang terpilih untuk dimodelkan sebagai RT Progresif berdasarkan kriteria yang dilihat sangat berdaya upaya.

“Antara kriteria tersebut termasuklah mempunyai Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang aktif dan Projek Kebun Komuniti yang cemerlang serta KRT yang aktif melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

“Sehubungan itu, pihak KRT di bawah RT Progresif menerima peruntukan bagi pembelian peralatan dan pembaikan kabin SRS, naik taraf kebun komuniti dan peruntukan bagi melaksanakan program elektif mencakupi elemen warisan dan budaya, kesejahteraan komuniti, alam sekitar dan pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Tambah Muaseh, gabungan idea, komitmen pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa dengan bantuan khidmat nasihat Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Manjung, KRT ini mampu melaksanakan pelbagai aktiviti hampir setiap minggu bagi mendekatkan RT dengan masyarakat seperti program Dapur KRT yang mana juadah makanan disediakan dan disumbangkan kepada mereka yang layak sebagai salam perkenalan.

Antara pencapaian KRT Seri Manjung VII (Fasa 1D1, 1D2, 1D3).

“Asas penubuhan RT itu sendiri adalah untuk meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan setempat, justeru adalah penting untuk memperkasa peranan RT agar tidak dilihat sebagai unit rondaan untuk menjaga keselamatan komuniti semata-mata,” ujarnya.

Satu kelainan yang ditonjolkan oleh RT Progresif ialah mewujudkan unit Suri Rumah Prihatin (SRP) dengan unit rondaan ini dianggotai oleh kaum wanita yang bertugas menjaga keselamatan ketika kaum lelaki mengerjakan solat Jumaat, membuktikan kebersamaan dan komitmen ahli KRT dalam menjaga keharmonian komuniti.

Muaseh yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut melahirkan rasa bangga atas usaha dan komitmen semua ahli jawatankuasa KRT Seri Manjung VII (Fasa 1D1, 1D2, 1D3), dalam memastikan kelestarian RT Progresif sebagai pemacu dalam komuniti kejiranan dan mampu memberi impak yang signifikan dalam membantu kerajaan membangunkan komuniti setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda