Laporan/foto: Norlia Mili/Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai kira-kira lebih 700 ahli Komuniti MADANI dari seluruh pelusuk Sarawak telah berkesempatan bersama-sama meluangkan masa menyaksikan program Infiesta PENTARAMA sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak.
Persembahan nyanyian malam tersebut turut diselitkan dengan penyampaian maklumat-maklumat terkini seperti inisiatif kerajaan untuk menyokong kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara melalui taklimat ringkas Bajet 2025 yang disampaikan oleh pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sarawak Robin Junang dan Siti Mariam Mahdar.
Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang merupakan ahli Komuniti MADANI Satok Mohammad Zulhilmi Mohammad Reduan, 22 , berkata taklimat bajet tersebut menyedarkannya tentang adanya Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
“Dana yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan itu nanti boleh kami gunakan bagi memperkasakan komuniti dengan menganjurkan aktiviti sosioekonomi dalam kalangan ahli Komuniti MADANI,” ujarnya semalam.
Sketsa bertajuk ‘Scammer Pekerjaan’ turut dipersembahkan bagi menerangkan kepada masyarakat mengenai penipuan pekerjaan yang semakin berleluasa kini dan mengingatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada.
Selain itu, para tetamu Infiesta PENTARAMA turut disajikan dengan kuiz kenegaraan, yang memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan penganjur.
Infiesta PENTARAMA merupakan platform untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan, di samping merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak melalui aktiviti-aktiviti yang diketengahkan selain menyajikan hiburan bagi memeriahkan acara.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (Kandungan Digital) Erwin Khairul Ahmad, Pengarah JaPen Sarawak Helmy Hamid dan Timbalannya Aziz Abdul Rahman.
-ZS-