Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Elton Ciddy Yali (Sabah)
KOTA KINABALU, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Festival Koir Antarabangsa Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) 2024 telah membuka peluang yang berharga kepada pasukan koir dari seluruh dunia, termasuk dari Sabah, untuk mempersembahkan bakat mereka di pentas antarabangsa.
Festival yang melibatkan 13 negara dan 160 pasukan koir ini juga menjadi platform bagi para peserta untuk bersaing dan berkongsi keunikan seni suara termasuk dua pasukan yang terbang dari Sabah iaitu THE OV Singers dan The Beautyza Chorus.
Dengan tekad mengangkat seni koir tempatan ke aras yang lebih tinggi, Pengurus Koir pasukan Sabah, Carrey Oliver, berkata sebelum menghadiri festival ini, kedua-dua pasukan menjalani persiapan rapi untuk menampilkan persembahan yang terbaik.
“Latihan vokal dan harmoni dilakukan sebanyak dua kali seminggu, selain mengikuti pelbagai bengkel dan kursus vokal serta menduduki peperiksaan vokal untuk memperkukuhkan kemahiran.
“Pengalaman kali ini berbeza dengan festival atau pertandingan koir sebelumnya, memandangkan MCE 2024 mempunyai skala yang jauh lebih besar dan melibatkan penilaian daripada juri antarabangsa,” katanya ketika ditemui di MCE di sini, kelmarin.
Beliau turut berharap agar koir dapat menjadi antara aktiviti seni kreatif yang lebih mesra untuk dikembangkan bersama institusi dan organisasi di seluruh negara.
“Melalui persembahan koir, lagu-lagu tempatan juga dapat diperkenalkan dengan penuh tenaga, menarik minat ramai dan menaikkan kebolehan serta kebolehanpasaran seni muzik di negara kita, demi membina masyarakat yang kaya dengan budaya dan sahsiah yang tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, peserta koir dari SM St. Michael Penampang, Janessa Jenius, 16, berkata penyertaan dalam festival ini telah membuka mata anak muda sepertinya terhadap kehebatan kumpulan koir dari negara-negara Asia Tenggara yang berjaya membawa seni koir mereka ke persada dunia.
“Negara-negara ini telah memenangi pelbagai pertandingan koir di Eropah dan antarabangsa, melihat persembahan mereka adalah pengalaman berharga, dan saya berharap pengalaman selama lima hari ini dapat dimanfaatkan untuk pertandingan dan festival yang akan datang,” katanya.
Bagi artis tempatan Sabah, Clarice F.E. Sipanul, 50, beliau yang turut serta dalam festival percaya pengalaman yang diperolehi para peserta membantu meningkatkan mutu, teknik dan ilmu baharu dalam persembahan koir.
“Festival ini memberikan ilmu baru dalam teknik vokal, terutama dalam aspek ‘blending’ suara dan pemilihan tona suara yang sesuai, saya juga berharap pengalaman ini akan memberi inspirasi kepada saya dan seluruh pasukan untuk menghasilkan persembahan yang lebih bermutu di masa hadapan,” ujarnya.
Berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur, persembahan koir daripada The OV Singers berjaya menghadiahkan mereka dengan anugerah Gold C Diploma Award dalam kategori mix voice manakala The Beautyza Chorus menenangi anugerah perak dalam kategori Folklore.
-AA-