Laporan/foto: Salehudin Klewan (Hulu Langat)
HULU LANGAT, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Lebih 200 penduduk Kampung Pangsun, di sini menyifatkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua sebagai suatu rahmat untuk mereka.
Jualan yang diadakan di hadapan Masjid Jame’ Pangsun bermula pukul 8.00 pagi semalam memberi peluang kepada penduduk membeli barangan asas yang menawarkan harga lebih murah.
Seorang suri rumah, Noriah Ahmad, 45, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk hadir mendapatkan barang-barang runcit keperluan rumah.
“Program JER memang sangat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah seperti saya.
“Dicadangkan pihak penganjur membawa stok yang mencukupi bagi barangan yang mendapat permintaan tinggi seperti minyak masak,” katanya.
Seorang lagi pengunjung yang ditemui, Norhayati Mohamad, 51, berkata program JER ini sangat baik dan perlu dianjurkan lebih kerap lagi untuk memberi peluang penduduk mendapatkan barangan dengan harga rendah.
“Saya bersyukur kerana dapat berjimat kerana pada hari ini dapat membeli barang-barang keperluan harian seperti telur dan ayam dengan kuantiti yang saya perlukan,” katanya yang juga seorang suri rumah.
Sementara itu Penyelaras program JER DUN Dusun Tua Wira Indera Farok, berkata penduduk datang seawal pukul 8.00 pagi bagi mendapatkan nombor giliran walaupun jualan bermula pukul 9.30 pagi.
“Antara barangan yang dijual seperti ayam dengan harga RM10.00 seekor, daging pejal RM10.00 per pek, telur gred B RM10.00 sepapan, ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kilogram (kg) dengan harga RM25.00 dan beras lima kg berharga RM13.00 sahaja,” jelasnya.
-ZS-