Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

PKD Mobile Program Perkhidmatan Sehenti Bergerak

By 18 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Safwan (Tampin)

TAMPIN, 18 November (Malaysiaaktif) – Majlis perasmian Siri Ke-4 Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Tampin, Negeri Sembilan, di sini semalam.

Tuan Mohd Fadhil bin Hassan, Pegawai Daerah Tampin (dua dari kanan) di Program PKD Mobile

Program PKD Mobile ini diadakan sebagai nilai tambah kepada sejumlah 191 buah PKD yang sedang beroperasi di seluruh negara di mana 10 daripadanya adalah di Negeri Sembilan.

Pengoperasian PKD dibawah KKDW adalah untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat desa terutamanya kearah pendigitalan selari dengan dasar kerajaan di bawah Anjakan Strategi Digital First 2024 – 2025.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Program PKD Mobile ini telah dianjurkan bermula tahun 2023 di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan PKD.

Ini bagi membolehkan masyarakat luar bandar berinteraksi secara langsung dan mendapatkan perkhidmatan PKD sedia ada.

Antara jemputan yang hadir ke Majlis Perasmian Program PKD Mobile

Tambahnya lagi, PKD Mobile diperkenalkan sebagai satu daripada program quick wins KKDW meluaskan perkhidmatan PKD sedia ada termasuk perkhidmatan kerajaan dan swasta yang terpilih terus ke kawasan luar bandar.

“KKDW akan terus mengupayakan Kemampanan dan Daya Cipta masyarakat desa selari dengan nilai teras Malaysia MADANI dan Aspirasi Desa MADANI untuk memastikan rakyat terutamanya masyarakat desa dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera dan berkualiti,” ujarnya.

Seorang pengunjung Kamarul Ariffin Shaari, 42, gembira dan teruja dengan program yang diadakan dan berharap program seperti PKD Mobile akan dijalankan lebih kerap di Tampin dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan terus kepada rakyat.

Program PKD Mobile Tampin Negeri Sembilan telah membawa 22 pempamer kaunter daripada kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan swasta untuk memberi perkhidmatan terus kepada masyarakat di Tampin.

Selain itu, Jualan Rahmah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut diadakan dengan menawarkan jualan barangan keperluan harian sehingga 30% lebih murah dari pasaran.

Turut hadir YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, YB Tuan Veerappan Superamaniam, EXCO Kerajaan Negeri Sembilan & ADUN Repah, YB Dato’ Mohd Isam bin Hj Mohd Isa, Ahli Parlimen Tampin, ketua-ketua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta Pengerusi JPKK dan komuniti daerah Tampin.

-AA-

Tinggalkan komen anda