
Laporan/foto: Safwan (Tampin)
GEMAS, 18 November (Malaysiaaktif) – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah mengadakan Program Desa Cerdas KEMAS Daerah Tampin di Padang Awam Felda Jelai 4 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, semalam.

.Jualan Beras Tempatan Jenama Perpatih di Jualan Nismilan Prihatin turut diadakan ketika program berlangsung
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan Program Desa Cerdas adalah program dan aktiviti yang sangat baik dan bermanfaat. Beliau menghargai komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh penduduk kampung yang hadir memeriahkan program tersebut. Beliau turut memuji penduduk Felda Jelai yang mempunyai kampung yang cantik, tersusun dan bersih.

Antara pameran dan perkhidmatan agensi yang disediakan
“KKDW akan sentiasa santuni semua masyarakat di luar bandar kerana hasrat kementerian adalah untuk melahirkan kawasan luar bandar yang inklusif, desa lestari serta masyarakat yang harmoni,” ujarnya.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menaiktaraf dan mengubahsuai Masjid Jelai 4 dan projek naik taraf tiga Tabika Kemas yang terpilih di Parlimen Tampin.
Antara aktiviti menarik ialah Senamrobik dan Funwalk Komuniti, Taklimat Kesihatan, Sukan antara Tabika Kemas, Sukaneka Rakyat Desa dan Pameran Agensi Kerajaan. Antara objektif program yang dijalankan adalah untuk memberikan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran kepada masyarakat tentang gaya hidup sihat, selamat dan sejahtera. Program pada edisi 2024 ini menekankan aktiviti sihat dan kebersamaan komuniti yang ada di luar bandar.
Turut hadir YB Dato’ Mohd Isam Hj Mohd Isa, Ahli Parlimen Tampin, Timbalan Ketua Pengarah KEMAS, Pengarah KKDW Negeri Sembilan, Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Ketua-ketua Jabatan dan Pengurusan Felda Jelai serta pengerusi-pengerusi komuniti.
-AA-