Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Usahawan Muda Tekad Kembangkan Potensi Perniagaan

By 8 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Seorang usahawan muda tempatan bertekad menyahut seruan kerajaan untuk mengembangkan potensi perniagaanya ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut usahawan muda dan Pengurus Syarikat Madani RO Enterprise, Ahmad Makki Abdullah, 32, sejak 22 April tahun 2019, syarikatnya telah memulakan proses mencari gali sumber air bawah tanah di No. 18 Pondok Bukit Jagung, Mukim Padang Pusing dan seterusnya memulakan perniagaan air minuman proses osmosis berbalik.

Air minuman syarikat Madani RO Enterprise.

Osmosis berbalik (RO) ialah proses di mana tekanan digunakan untuk memaksa air melalui membran ketat yang menghalang laluan bahan terlarut, zarah, bakteria dan endotoksin untuk menghasilkan air tulen.

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa sumber air tersebut adalah dari rekahan batu keras berusia ratusan tahun yang dikenali sebagai syal dan lodak dengan menghasilkan sebanyak 35,000 gelen air sejam, adalah dipercayai paling tinggi di negara ini,” katanya, di sini kelmarin.

Menurutnya, air minuman di bawah jenama Madani RO dicetuskan berdasarkan kepada nama anaknya iaitu Ahmad Madani Ahmad Makki.

“Sehingga tahun 2024, selain daripada mengeluarkan air minuman (RO), kami juga turut mengeluarkan beberapa produk jenama sendiri, mengilang dan membekalkan botol plastik kosong, mengeluarkan sabun pencuci pinggan dan sabun pencuci lantai,” jelasnya.

Bagi mengembangkan perniagaan ini, beliau berhasrat untuk menghasilkan air mineral memandangkan permintaan air mineral juga tinggi di pasaran kerana orang ramai lebih menggemari air mineral berbanding air minuman.

“Selain itu, saya juga berhasrat untuk mengeluarkan produk makanan dan minuman halal serta bersih yang dapat digunakan tanpa was-was,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda