Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz bin Mohamad Nazri/Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Malaysiaaktif) – “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited dalam menangani isu-isu yang membelenggu penggiat seni muzik tempatan dan akan terus memperkemaskan undang-undang hak cipta mengikut perkembangan semasa, membangunkan dasar-dasar untuk melindungi kepentingan pemilik, pencipta, pelaku dan pengguna dalam usaha memperkukuhkan ekosistem perlindungan harta intelek di Malaysia,” kata Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri ketika hadir ke Majlis Sentuhan Kasih Madani, semalam.
Majlis yang dianjurkan oleh KPDN ini telah dihadiri oleh sebahagian daripada para penggiat seni yang sebelum ini berdaftar di bawah Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM) sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) untuk menguruskan kutipan dan bayaran royalti.
Bagaimanapun, PRISM sebagai salah satu CMO di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) telah dibatalkan pada 3 April 2019 kerana tidak lagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta 332. Susulan itu berbangkit isu tunggakan bayaran royalti bagi penggunaan lagu pada tahun 2018 yang kemudiannya diselia oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
Menurut Armizan, KPDN dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menerima pelbagai aduan daripada pelbagai pihak termasuk penggiat seni, pemunya dan pengguna karya hak cipta muzik. Antaranya berkenaan agihan royalti yang disifatkan terlalu rendah, tadbir urus CMO, kadar tarif tinggi dan tidak seragam yang ditetapkan oleh CMO .
Sebagai langkah penambahbaikan segera, KPDN bakal memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian CMO pada April 2025. Garis Panduan ini akan memberi kuasa kepada MyIPO untuk memantau pengurusan kutipan dan pengagihan royalti oleh CMO bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti demi menjaga hak serta kebajikan penggiat seni dan pengguna.
“Dalam isu royalti ini asas punca kuasa KPDN (melalui MyIPO) adalah Akta Hak Cipta (1987) atau dikenali sebagai Akta 332. Di bawah Seksyen 27M akta ini, elemen pengoperasian, tatakelola dan tadbir urus (governance) pengurusan CMO boleh sentiasa diperkemas,” ujarnya.
-AA-