Laporan/foto: Nur Arinnica Arif (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Bagi mengimbau kembali sejarah 130 tahun penubuhan Bandar Penggaram atau Bandar Batu Pahat yang dirasmikan pada 1 Januari 1894, satu projek usaha sama di antara Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Pejabat Parlimen Batu Pahat dan Komuniti Hakka telah dijayakan dengan pembukaan Galeri Batu Pahat 1894.
Pengarah Projek Kajian Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI) UTHM Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan, berkata tiada galeri atau muzium khusus mengenai sejarah bandar Batu Pahat menjadi pencetusnya Galeri Batu Pahat 1894 ini ditubuhkan dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sejarah dan evolusi perkembangan bandar Batu Pahat.
“Projek MyREI ini telah diwujudkan sejak tahun 2021 lagi dengan kerjasama dari peringkat akar umbi komuniti tempatan iaitu Hakka House Batu Pahat sehingga galeri ini dapat ditubuhkan.
“Dengan arus kemodenan sekarang, masyarakat terutamanya dikalangan anak muda semakin lupa akan sejarah tempatan dan Bandar Penggaram tidak akan wujud hari ini tanpa adanya sejarah kewujudannya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Galeri 1894 Batu Pahat, di sini semalam.
Dalam pada itu, Dr. Indera menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap Pejabat Parlimen Batu Pahat yang memberi sokongan dan menyalurkan dana bagi memastikan projek Galeri 1894 Batu Pahat berjaya.
“Saya juga berterima kasih kepada Hakka House Batu Pahat kerana menyediakan tempat secara percuma untuk Galeri ini,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar, Pengarah MyREI Prof. Madya Sr. Dr. Abdul Jalil Omar, Pemilik Hakka House Batu Pahat Gerald Lee Pin Chin dan Angie Hoo Pei Pei.
-ZS-