Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di Masjid Jamek Machang Bubok, di sini kelmarin menyaksikan penyertaan hampir 300 penduduk tempatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, hadir menyampaikan sumbangan 100 bakul makanan kepada ahli Kesatuan Sekerja dan penduduk terpilih.
Ketua Pengarah JHEKS Haji Mohd Asri Abdul Wahab, berkata program sebegini membawa manfaat langsung kepada komuniti
“Kerjasama erat masyarakat tempatan dengan pasukan KESUMA dan JHEKS membuktikan semangat MADANI yang kita usahakan bersama,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik seperti menukar minyak hitam motosikal, gunting rambut, pertandingan mewarna, pameran agensi KESUMA dan cabutan bertuah turut diadakan menjadikan program ini platform untuk merapatkan hubungan antara masyarakat dan kerajaan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Sutekno Ahmad Belon dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok Lee Khai Loon.
-ZS-