
Laporan/ foto: Mohd Suhaizad Abd Samad (Rompin)
ROMPIN, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 150 orang sukarelawan menyertai Misi Pasca Bencana Ombak Besar di Rompin: Tindakan Prihatin Bersama Komuniti, di sini, hari ini.

ADUN Tioman turut hadir menyertai aktiviti gotong-royong
Sukarelawan ini terdiri daripada Skuad Ihsan MADANI SATRIA Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Daerah Rompin, SWCorp Cawangan Rompin, Pejabat Belia dan Sukan Daerah, Kompleks Rakan MUDA Rompin, Pejabat Penghulu Mukim Endau, GIATMARA Rompin, Kolej Komuniti Rompin, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kg.Jawa, Kelab Bencana Rompin serta penduduk setempat.

Golongan belia turut berganding bahu menyertai misi bantuan yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin
Ahli Dewan Undangan Tioman Dato’ Seri Mohd Johari Hussain yang turut hadir ke misi berkenaan dalam ucapannya, berkata semangat perpaduan yang diterapkan oleh para sukarelawan membantu membersihkan kawasan kampung yang dilanda fenomena air pasang besar baru-baru ini wajar dihargai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin atas penganjuran misi ini dan amat menghargai perpaduan yang ditunjukkan oleh semua pihak,” katanya yang turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk.
Aktiviti misi bermula seawal jam 8 pagi dengan program gotong-royong membersihkan kawasan pantai dan kawasan kampung yang terjejas.
-AA-