Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Amalan Kebersihan: Keluarga Bukan Muslim Sertai Program Berkhatan

By 20 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Kesihatan dan kebersihan menjadi faktor utama yang mendorong pasangan suami isteri (bukan Islam) mendaftarkan dua anak lelaki mereka, Joshua Jerico, 11 , dan Jackson Marshello, 8, untuk menyertai program berkhatan.

Walaupun mereka bukan beragama Islam, pasangan ini menyedari bahawa berkhatan adalah amalan yang dapat membantu menjaga kebersihan dan kesihatan tubuh, khususnya bagi anak lelaki mereka.

Rina bersama adik-adik peserta sebelum program dimulakan.

Menurut Johanes Ado, 40, berkhatan bukanlah perkara asing bagi keluarga mereka dan sudah menjadi amalan biasa sejak turun-temurun.

“Berkhatan adalah tradisi yang telah lama menjadi amalan keluarga kami dan kami meneruskan warisan ini dengan kedua-dua anak kami.

“Saya bersyukur kerana pihak penganjur memberi peluang kepada anak-anak kami untuk menyertai program ini di Masjid Baitulrahman Muhibbah Bal hari ini,” katanya ketika ditemui pada program Khatan Perdana DUN Kukusan 2025. di sini pada Ahad.

Program Khatan Perdana tersebut dibiayai sepenuhnya di bawah Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan melibatkan seramai 101 kanak-kanak daripada lima mukim iaitu Kampung Jawa, Sentosa, Muhibbah Bal dan Muhibbah Raya.

Terdahulu, Ahli DUN Kukusan Datuk Rina Jainal, berkata program berkenaan dianjurkan atas inisiatif pihaknya bagi membantu penduduk setempat melaksanakan khatan secara percuma terutama golongan B40, anak yatim dan asnaf.

Rina ketika menyempurnakan gimik perasmian iaitu menyembur air kepada adik-adik yang mengikuti program khatan.

“Program berkhatan ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Bomba Komuniti Titingan, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Muhibbah Bal dan Jawatankuasa Masjid Baitulrahman Muhibbah Bal.

“Kaedah berkhatan ini menggunakan teknologi laser yang kini lebih popular berbanding kaedah tradisional di mana berkhatan menggunakan laser lebih praktikal dan memberikan kesembuhan yang lebih cepat kepada kanak-kanak,” katanya selepas menyempurnakan gimik perasmian semburan air bomba kepada semua peserta khatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda