
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Denis Etem (Sarawak)
KUCHING (BAU), 20 Jan (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Segong telah menunjukkan semangat gotong-royong yang tinggi dalam kalangan penduduk ketika membersih dan mencantikkan kampung mereka.

Seramai 80 orang penduduk Kampung Segong mengambil bahagian menjayakan program gotong-royong ini yang memperlihatkan semangat muafakat perpaduan mereka yang bertepatan dengan pepatah melayu berat sama dipikul ringan sama dijinjing.
Menurut Ketua Kampung Segong Amy Munga, aktiviti tersebut bukan sahaja berjaya mendidik serta memperkukuhkan kerjasama dan perpaduan komuniti setempat, malah turut berupaya memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes serta membuat persiapan menghadapi banjir.
“Syabas dan terima kasih kepada penduduk kampung di sini. Tidak kira tua atau muda, semuanya mengambil bahagian dengan berkumpul dan membawa alatan masing-masing bagi menjayakan aktiviti gotong-royong membersih dan mencantikkan kampung kami.
“Inilah budaya muafakat perpaduan masyarakat kami di sini sejak dahulu hingga sekarang, seperti pepatah Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,’” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.
Tambahnya lagi, tumpuan aktiviti tersebut adalah di dewan, longkang, bahu jalan dan kawasan semak.

Amy Munga semasa program.
Amy Munga turut memaklumkan bahawa seramai 80 orang penduduk kampung telah terlibat dalam aktiviti tersebut.
“Mereka turut dibantu oleh 10 Regimen Sempadan Kem Puncak Permai Tondong, melibatkan 20 orang anggota yang diketuai oleh Leftenan Muda Mohd Fakhrul,” katanya.
-ZS-