
Laporan/ foto: Dayang Siti Nurzuhairah Binti Abang Ahmad Zaini
BACHOK, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Komuniti MADANI Daerah Bachok dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus diperhebat menerusi siri Jelajah Promosi dan Publisiti Komuniti MADANI x NADI Daerah Bachok (Embark On 2025).

Komuniti MADANI DUN Tawang gembira dengan pendedahan yang diberikan dan perancangan akan datang
Siri jelajah ini melibatkan sembilan Komuniti MADANI dan lapan buah pusat NADI di seluruh daerah ini yang diatur mengikut pecahan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap komuniti.
Melalui siri ini, Komuniti MADANI Daerah Bachok dapat mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), memandangkan setiap NADI mempunyai kepakaran dan perkhidmatan tersendiri.

Komuniti MADANI NADI DUN Jelawat
Menurut jurucakap Komuniti MADANI Daerah Bachok, Zahari Sidik, 46, inisiatif ini diharap dapat memastikan setiap penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan dan bantuan kerajaan tanpa ada yang tercicir.
“NADI menyediakan banyak perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan seperti literasi digital, keusahawanan, dan perkhidmatan rawatan asas kesihatan yang sangat sesuai untuk penduduk kampung,” katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang siri jelajah ini termasuk penerangan isu jenayah siber dan berita palsu, taklimat inisiatif terkini NADI serta perbincangan hala tuju kerjasama Komuniti MADANI x NADI Daerah Bachok melalui inisiatif Embark On 2025.
Sebelum ini, kerjasama Komuniti MADANI x NADI Daerah Bachok mula dilancarkan pada 8 Jun 2024 dalam program JIWA Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Bachok yang melibatkan 100 ahli Komuniti MADANI yang mendaftar sebagai ahli NADI dengan konsep kerjasama “1 Komuniti MADANI, 1 NADI” bagi memastikan semua komuniti di daerah ini menerima manfaat.
NADI merupakan inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kini, Perkhidmatan Pintar NADI berkembang kepada lima kategori utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran, dan inisiatif kerajaan.
-AA-