
Laporan/Foto: Norliza Isahak/Cahris Yong (Sarawak)
SARIKEI, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Kaunter pendaftaran dan penyemakan akaun Sarawak ID dan SPay Global bagi penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) daerah Sarikei dibuka selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Januari di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei.
Pembukaan kaunter tersebut adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri supaya semua penerima SKAS yang masih belum berjaya mendaftar dalam aplikasi berkenaan dapat menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan dengan sebaiknya.

Corina (kiri) merupakan petugas dan penerima SKAS yang sempat ditemu bual di sini hari ini.
Corina King, 51 tahun, salah seorang sukarelawan yang bertugas merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan SKAS.
“Saya berharap agar kerajaan turut memberi kelonggaran diberikan kepada warga emas supaya bantuan mereka boleh diberikan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun,” tambahnya.
Manakala Tuai Rumah Patrick Jigat, 51 tahun, pula melahirkan rasa gembira terhadap bantuan SKAS yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak.

Patrick (kanan) ketika ditemu bual di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei hari ini.
“Terima kasih kerajaan Sarawak atas bantuan SKAS ini dan saya berharap agar ianya diteruskan pada tahun yang akan datang untuk meringankan beban rakyat kerana taraf hidup yang semakin tinggi,” jelasnya.
-RJ-