
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)
SUNGAI SIPUT, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Sekurang-kurangnya 18 orang suri rumah dan ibu tunggal menjadi penggerak ekonomi Kampung Jaya Setia menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) melalui Projek Bengkel JS Licious.

Proses penggorengan muruku JS Licious
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jaya Setia Ebby Shaifullah Yussof, berkata peruntukan melalui program SejaTi MADANI sebanyak RM100,000 telah menjadi pemangkin kepada kejayaan projek ini.
“JS Licious bermula dengan langkah kecil pada 11 November tahun lalu dengan hasil dana awal sebanyak RM35,000 daripada APPGM-SDG untuk menghasilkan produk pertama kami iaitu kerepek berasaskan buah labu.
“Menerusi dana tambahan SejaTi MADANI dengan bantuan Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS), bengkel ini telah menjadi pusat pengeluaran pelbagai produk berkualiti seperti muruku karang pulut, kerepek halia, kacang pis, kerepek labu, sambal labu dan kuih tiram dengan pelbagai perasa.

Gimik Pelancaran Produk Kerepek SejaTi MADANI dan Pelancaran Bengkel JS Licious
“Kami juga merancang untuk memperkenalkan produk sejuk beku serta pelbagai jenis kerepek baharu yang mampu menembusi pasaran nasional dan serantau, khususnya di Asia Tenggara,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak Mazlan Zurin Zulkifli, berkata Program SejaTi MADANI adalah salah satu langkah besar dalam memastikan pembangunan negara yang inklusif serta berdaya saing.
“Hal ini, tidak hanya memberi fokus kepada pencapaian ekonomi, malah kemajuan sosial dan kesejahteraan komuniti kita,” katanya.
Jelasnya lagi, melalui Program SejaTi MADANI, tiga teras utama perlu ditekankan melalui Program Sejai MADANI iaitu kesejahteraan hidup, peningkatan ekonomi dan keterangkuman sosial.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam, matlamat projek ini adalah untuk mengangkat martabat, menggalakkan aktiviti ekonomi serta membuka peluang pekerjaan di samping meningkatkan pendapatan setempat.
“Menerusi projek ini penyediaan bekalan makanan segar untuk kegunaan tempatan dan pasaran luar juga dapat dihasilkan.
“Projek ini juga dapat memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti, khususnya generasi muda agar mereka lebih berdikari dan kreatif dalam mencari peluang ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Produk Kerepek SejaTi MADANI dan Pelancaran Bengkel JS Licious, semalam.
Kesavan berharap agar projek ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sumber yang lestari untuk generasi akan datang.
-AA-