
Laporan/foto: Mawarni Ismail (Barat Daya)
SUNGAI ARA, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 50 orang kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menyertai Program Khatan Perdana KADUN Batu Maung bertempat di Masjid Al-Huda, di sini semalam.

Seramai 17 orang petugas Klinik Keluarga siap sedia menjalankan tugas berkhatan.
Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung bersama Kariah Masjid Al-Huda itu dianjurkan secara percuma mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan ucapan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Ahli DUN Batu Maung Datuk Dr, Mohamad Abdul Hamid, kemudian diserikan dengan persembahan silat kanak-kanak sebelum kemuncak acara disempurnakan dengan pancuran air daripada jentera bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru.
Menurut Dr. Mohamad, program tersebut dianjurkan secara percuma bagi meringankan beban ibu bapa terutamanya golongan B40 memandangkan kos berkhatan adalah tinggi dan sesi persekolahan baru bakal bermula tidak lama lagi.

Hatim (kiri) dan Habib (kanan) ceria dan bersemangat sebelum berkhatan.
Hatim Zawil, 9, dan Habib Zaidan, 10, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Ara melahirkan rasa gembira dan teruja kerana mereka serta beberapa rakan yang lain telah berjanji untuk berkhatan bersama-sama.
“Perasaan gementar dan takut ini dapat diatasi bila kami sepakat untuk berkhatan bersama-sama,” kata Habib.
Seramai lima orang mudim profesional dan 12 orang petugas dari Klinik Keluarga, Bandar Perda hadir menjayakan program tersebut.
-ZS-