
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/ Mohd Fadzhel Ramneh (Sabah)
KOTA BELUD, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Walaupun diuji dengan hilang daya penglihatan sejak lahir, Mohd Amar Amirulamin Matzin, 25, mampu mengalunkan ayat suci Al-Quran dengan cemerlang.
Berbekalkan bakat yang dikurniakan Allah, Qari berasal dari Kampung Lentigi Kota Belud ini berjaya dinobatkan sebagai naib johan sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kota Belud Tahun 2025.

Mohd Amar satu-satunya peserta OKU dinobatkan naib johan pertandingan Tilawah Al-Quran daerah Kota Belud 2025.
Majlis yang berlangsung di Masjid Pekan Kota Belud itu menjadi saksi bagaimana anak muda Orang Kelainan Upaya (OKU) juga mampu melantunkan ayat Al-Quran mengikut makhraj dan tajwid yang sempurna.
Menurut Mohd Amar Amirulamin, sejak kecil lagi beliau didedahkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan sentiasa menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran sejak dibangku sekolah lagi.
“Saya membaca Al-Quran menggunakan kitab Al-Quran khas yang dicetak secara Braille dan ini memudahkan saya melantunkan ayat suci Al-Quran dengan lancar.
“Sekarang tiada halangan untuk orang kurang upaya menyertai pertandingan Tilawah kerana banyak kemudahan disediakan,” katanya ketika di temui semasa majlis tersebut hari ini.

Mohd Umar johan qari dalam pertandingan Tilawah tersebut.
Beliau bersama-sama enam peserta bertanding dan johan bagi qari dimenangi oleh Mohd Umar Jiman dari Kampung Siasai Jaya.
Manakala johan qariah dimenangi oleh Nur Izzannatul Natasha Saman dari Kampung Sembirai yang bakal mewakili daerah Kota Belud bertanding di peringkat negeri Sabah.
Majlis Tilawah Al-Quran anjuran Pejabat Daerah Kota Belud dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Belud telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.9 Tempasuk merangkap Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Arsad Bestari.
-RJ-