
Laporan/foto : Ahmad Nizam Abidin/Pejabat Pendidikan Daerah Pekan (Pekan)
PEKAN, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang, Pekan mencipta sejarah menjadi pemenang dalam pertandingan robotik 26th International Robot Olympiad yang berlangsung di Busan, Korea Selatan dari 17 hingga 21 Januari 2025.

Pasukan Malaysia dari SK Permatang Keledang, Pekan bersama sijil dan pingat kemenangan
Adik Fizrey Rovince Ronachai, 12, Hafiezie Azwanizizi, 12 dan Matthew Jambai Karong, 11, yang berketurunan kaum orang asli Jakun dari Kampung Permatang Keledang, Pekan menewaskan 53 peserta dari negara lain.

Pasukan dari Malaysia dinobatkan sebagai juara sekali gus membanggakan Malaysia di persada dunia
Menurut Guru Besar SK Permatang Keledang Ahmad Zaki Zainuddin, pencapaian pelajar ini amat membanggakan Orang Asli terutama yang bermastautin di Pekan.
“Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian di peringkat dunia yang diperolehi oleh anak murid kami.
“Kami akan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap perkembangan pelajar agar menjadi teladan yang positif kepada generasi akan datang,” ujarnya dengan rasa bangga.
“Saya juga berterima kasih kepada guru yang membimbing iaitu Cikgu Mohd Zulkhairi Umar dan Cikgu Wan Rahmat Wan Ismail serta pihak Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) yang telah menaja pasukan kami kali ini,” katanya.
-AA-