
Laporan/ foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah aktif melakukan samun dan curi kenderaan dalam kejadian berbalas tembak di Kota Emerald, di sini hari ini.

Kereta dipercayai disewa kumpulan penjenayah untuk melakukan jenayah
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan kereta yang disewa dengan menukar nombor pendaftaran palsu sebelum melakukan jenayah.
Katanya, pihak polis telah mengikuti dan mengintip kumpulan ini sejak tahun lepas dan tahun 2025 ini sejumlah 17 kenderaan telah dicuri kumpulan tersebut.

Unit Forensik PDRM tiba di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut
“Kami telah buat keputusan untuk menahan dan menangkap tetapi apabila polis memperkenalkan diri, mereka telah melepaskan tembakan serta melarikan diri.
“Dalam proses kejar mengejar itu masih berlaku berbalas tembakan sehingga ke lokasi kejadian hari ini sejauh 700 meter,” ujarnya.
Menurutnya, tiga suspek berjaya ditembak berusia 40 dan 43 tahun sementara seorang lagi masih belum dikenal pasti.
“Suspek berusia 40 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah sementara suspek berusia 43 tahun pula mempunyai 40 rekod jenayah termasuk dadah,” katanya.
Tambah Suhaily, antara barangan yang dijumpai adalah dua pucuk pistol jenis Revolver dan Semi Automatik, sepeket kecil lutsinar dipercayai dadah serta satu unit alat menyahkan sistem pengera kereta.
“Pihak kami sedang mengenal pasti saki baki ahli kumpulan ini,” katanya lagi.
-AA-