Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik!!

By 5 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat

KANGAR, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sentiasa memperhebat kempen ‘Perang Terhadap Gula’ dengan slogan ‘1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik!!’.

Kempen ‘Perang Terhadap Gula’ ini adalah satu inisiatif kerajaan dalam menangani masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kempen ‘Perang Terhadap Gula’ bersama para peniaga turut dilaksanakan.

Menerusi Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan trend yang meningkat bagi kategori berlebihan berat badan dan obesiti iaitu 50.1 ke 54.4 peratus atau secara ringkas, satu dalam setiap dua orang dewasa mengalami masalah ini amat membimbangkan.

Data Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan juga menunjukkan satu daripada enam rakyat dewasa Malaysia mengidap kencing manis iaitu 15.6 peratus adalah perkara yang perlu ditangani.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Pemakanan Unit Pemakanan, Bahagian Kesihatan Awam Perlis Nur Hazwani Roslan, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sentiasa membuat kempen kesedaran menerusi program advokasi bersama komuniti seperti Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Komuniti, KOSPEN Plus dan juga menerusi paparan bunting dan menerusi media sosial.

“Saya menyeru agar setiap masyarakat melihat keperluan harian kalori dan juga mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan melakukan aktiviti fizikal seperti berkebun,” katanya.

Noor Shafina (kanan), kini giat mengamalkan gaya hidup sihat dalam pemakanan dan juga aktiviti fizikal.

Seorang kakitangan awam yang juga bekas penghidap kanser Noor Shafina Ahmad, 40, berkata untuk memastikan kesihatan yang stabil selepas menerima rawatan, beliau perlu mengelakkan makanan terproses seperti gula.

“Saya masih cuba untuk meneruskan mengamal zero (tiada) gula kerana ia secara tak langsung memberi kesihatan yang lebih baik terutama bagi mengelakkan obesiti dan juga mengurangkan risiko serangan kanser berulang,” ujarnya semalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda