
Laporan/foto: Siti Aminah Abdullah/Norfatihah Abd Jamin (Kinta)
HULU KINTA, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 50 pelajar sekolah telah menyertai Program Gunting Rambut Percuma inisiatif Pertubuhan Kebajikan Misi Kita Perak dengan kerjasama Komuniti Madani Hulu Kinta B bertempat di padang permainan Taman Tanjung Bakti di sini, kelmarin.

ADUN Hulu Kinta turut beramah mesra dengan melakukan gimik memotong rambut pelajar
Program yang julung kalinya dilaksanakan ini mendapat sambutan yang cukup mengalakkan dengan objektif utamanya adalah untuk meringankan beban kewangan ibu bapa sempena sesi persekolahan 2025 itu nanti.
Bapa kepada peserta Mohd Zharfan Mohd Apandi, berkata program ini sangat membantu keluarganya memandangkan tidak perlu lagi mengeluarkan kos untuk memotong rambut anak beliau menjelang sesi persekolahan yang bakal tiba, tidak lama lagi.

Sesi bergambar bersama dengan para peserta Program Gunting Rambut Percuma
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan adanya program ini kerana sangat membantu kami dari segi kewangan di samping menambahkan lagi semangat serta keterujaan anak-anak untuk kembali ke sesi persekolahan.” katanya.
Ketua Komuniti Madani Hulu Kinta B Mohd Ghaffari Mansor, berkata pendekatan sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan ibu bapa para pelajar, namun secara tidak langsung turut mampu merapatkan lagi hubungan sosial dan kemasyarakatan penduduk sekitar.
“Saya percaya dengan adanya program kebajikan sebegini, kita mampu memperkasakan konsep kemasyarakatan komuniti setempat dengan jalinan hubungan mesra dapat diutuhkan dan diharapkan program amal seperti ini akan dipanjangkan lagi dengan susunan pelan pelaksanaan program berkhatan beramai-ramai pada bulan Mei akan datang.
Program ini turut menyediakan platfom penyampaian maklumat dengan membawakan naratif mengenai Sumbangan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kinta Nurul Azirah Mohd Yunus.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad selaku perasmi program.
-AA-