
Laporan/Foto: Florence Anak Sebastian Unting (Sarawak)
SARATOK, 4 Feb (MalaysiaAktif): Dalam kesibukan menguruskan kerjaya dan keluarga, ramai wanita merasakan sukar untuk mencari masa bagi diri sendiri, apatah lagi untuk mengejar minat dalam sukan.
Namun, bagi Deborah Anyau, 38 tahun, larian bukan sekadar hobi, tetapi satu cara hidup yang membawa perubahan besar kepada kesihatan dan kesejahteraan diri.

Deborah menyertai 10KM Borneo Marathon 2023.
Sejak bangku sekolah, Deborah sudah aktif dalam sukan dan menjadi atlet namun, komitmen terhadap kerjaya dan keluarga membuatkan beliau berhenti seketika daripada dunia larian.
Dari menyertai ‘Fun Run’ jarak 5km, Deborah mula mencabar dirinya ke tahap lebih tinggi dan antara pencapaian membanggakan beliau adalah menyertai Borneo Marathon 2022 dan Kuching Marathon 2022 dalam kategori 10km.
Kejayaan tersebut mendorongnya untuk beralih ke larian separuh marathon 21km dan tahun 2023 saya mencuba kategori 21km dalam Bintulu International Marathon, Isthmus Run, dan Kuching Marathon.
“Paling bermakna bagi saya ialah semasa Isthmus Run kerana tanpa saya sedari, saya sedang mengandung ketika itu, tetapi berjaya menamatkan larian,” katanya ketika ditemui semalam.
Sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Pejabat KEMAS Daerah Saratok, tugas Deborah menuntut komitmen yang tinggi dan ditambah dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada empat anak, cabaran membahagikan masa bukan sesuatu yang mudah.

Suami Deborah sentiasa memberi sokongan penuh kepada isterinya dalam larian malah turut serta dalam sukan larian.
“Saya sangat bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada suami dan kami sama-sama membahagikan tugas rumah tangga, dan saya meluangkan masa untuk berlatih selepas kerja atau pada hujung minggu,” katanya.
Kata Deborah lagi, setiap kali beliau berlari, ia membantu melupakan tekanan seketika dan membuatkan beliau lebih fokus dan bersemangat.
“Jangan tangguhkan niat untuk aktif dalam sukan dan jika tidak boleh bersukan di luar, mulakan di dalam rumah seperti berjalan kaki atau melakukan latihan ringan,” katanya.
Menurutnya, kesihatan mental dan fizikal sangat penting untuk kehidupan yang seimbang.
-RJ-