
Laporan/foto: Mohd Mardah Omarsah/ Zainudin Nurdin (Beluran)
BELURAN, 6 Feb 2025 (MalaysiaAktif) – Semua penduduk yang terjejas oleh bencana banjir layak untuk menerima bantuan kewangan bernilai RM1,000 walaupun tidak menetap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Selain menjelaskan soal bantuan banjir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, tinjauan ke daerah-daerah yang terjejas juga penting.

James mendengar Taklimat Bencana Banjir di Daerah Beluran yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Beluran.
Tujuannya adalah bagi mendapatkan maklumat secara langsung mengenai cabaran yang dihadapi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Saya mahu melihat sendiri kesan banjir ini dan memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk supaya kita dapat mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih efektif.
“Bantuan kewangan bernilai RM1,000 ini tidak hanya diberikan kepada mangsa yang berpindah ke PPS, tetapi semua mangsa banjir yang terjejas boleh memohon,” ujarnya ketika ditemui pada Taklimat Bencana Banjir di Pejabat Daerah Beluran di sini pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri menegaskan bantuan wang ihsan juga merangkumi kerugian-kerugian lain yang dialami mangsa banjir.

Jais memberikan penjelasan di Taklimat Bencana.
“Bantuan ihsan tidak hanya terhad kepada mereka yang dipindahkan ke PPS, mangsa yang kehilangan punca pendapatan akibat banjir, seperti mereka yang kebunnya ditenggelami air, juga layak memohon bantuan ini,” jelasnya.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beluran, Roger Appolonius, telah mengisytiharkan bencana serta pembukaan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah tersebut pada 29 Januari 2025.
Sepanjang lima hari bencana banjir, tiada kemalangan jiwa dilaporkan sebelum kesemua PPS ditutup pada 2 Februari 2025 setelah menerima laporan dari agensi-agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Untuk rekod, bencana banjir di Beluran telah mengakibatkan 60 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas, dengan seramai 197 mangsa dipindahkan ke tiga PPS iaitu PPS Dewan Kg. Balaban Jaya, PPS Dewan Kg. Sungai Nangka, dan PPS Dewan Matanggar.
-RJ-