
Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)
NABAWAN, 03 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 40 keluarga asnaf menerima sumbangan bakul makanan sempena Program Zakat Sabah Sumindangan bersama saudara Islam di Daerah Kecil Pagalungan di sini pada Sabtu.
Program turun padang anjuran pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ini dilaksanakan untuk membantu selain menyantuni golongan asnaf di pedalaman.

Pegawai JHEAINS Nabawan Mohd Ikhwan Nizam Abd Rasyid (kiri) menyerahkan bakul makanan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata, selain bertujuan meringankan beban, pihak terlibat juga memberi bimbingan dan motivasi gaya hidup mahmudah kepada peserta.
“Matlamat utama program ini dilaksanakan adalah sebagai langkah awal kami untuk mengenal pasti dan turun ke lapangan bagi melihat dan merasai sendiri kehidupan getir dan penuh cabaran yang dilalui oleh golongan asnaf di kawasan pedalaman.
“Program ini juga dilihat mampu memupuk sikap hormat-menghormati dan mengekalkan keharmonian dalam beragama khususnya dikawasan pedalaman,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Balai Budaya Pagalungan di sini kemarin.
Tambahnya, program tersebut juga mendapat sambutan baik dari saudara bukan Islam dan penganjuran aktiviti seumpanya bakal diteruskan menjelang bulan Ramadan akan datang.
“Saya sangat teruja pada hari ini dengan kehadiran bukan sahaja saudara-saudara kita yang beragama Islam, tetapi juga penduduk bukan Islam yang turut mengambil bahagian dalam slot program berkhatan percuma yang dianjurkan.
“Inilah keunikan yang ada di negeri sabah, penduduk tidak kira bangsa dan agama hidup aman damai, bertoleransi dan menjaga keharmonian seperti yang dituntut dalam agama masing masing.
“Kehadiran kami di sini sekadar untuk menyantuni dan membantu masyarakat sekitar Pagalungan dan bukan pula bertujuan untuk berdakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam,” jelasnya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Daerah Kecil Pagalungan, Junaidy Banaran berpendapat, program yang dianjurkan memberi banyak manfaat kepada keluarga asnaf khasnya di luar bandar.

Malai Ali ketika melaksanakan gimik siraman kepada peserta program berkhatan.
“Slot progam seperti berkhatan percuma memberi kemudahan kepada golongan yang tidak berkemampuan dan ibu bapa tidak perlu lagi ke Pekan Nabawan untuk membawa anak mereka berkhatan selain ceramah agama juga sedikit sebanyak memberi ilmu yang berguna kepada umat Islam di kawasan ini,”ujarnya
Untuk makluman Program Zakat Sabah Sumindangan bersama saudara Islam Daerah Kecil Pagalungan telah bermula pada 31 Januari 2025 selama tiga hari di kawasan Daerah Kecil Pagalungan dan Pensiangan.

Penyerahan sumbangan Khas Pengurusan dan Pengimarahan Masjid kepada Masjid Al-Bar.
Antara pengisian program seperti penyerahan sumbangan khas pengurusan dan pengimarahan Masjid sebanyak RM5000 kepada Masjid Al-Bar Pagalungan, perkhidmatan kaunter agensi dan jabatan, program ziarah ke rumah asnaf serta program berkhatan secara percuma.
-RJ-