
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Fakhruddin Khaderi (Barat Daya)
BATU MAUNG, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 50 peserta, terdiri daripada pelajar Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang serta kakitangan dan penduduk setempat bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut, di sini kelmarin.

Pelajar KITAB membersihkan bahagian belakang sebuah restoran.
Ia merupakan sebahagian daripada Program K-Lestari@Batu Maung, anjuran KITAB dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Selain aktiviti gotong-royong, pelbagai acara turut diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan tulisan khat, sukan rakyat, kenduri rakyat serta Majlis Penyerahan Sistem Solar kepada Masjid Al-Qahar, Permatang Damar Laut.
Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Pelajar KITAB Shafina Ganny, program khidmat masyarakat ini bertujuan menerapkan nilai kebersihan dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar sejajar dengan tuntutan Islam.
“Di samping jadual pembelajaran yang padat, para pelajar juga kita dedahkan dengan kegiatan kemasyarakatan agar mereka dapat merapatkan ukhwah dan jalinan kerjasama serta hubungan baik dengan masyarakat setempat,” katanya.

Shafina bersama-sama membersihkan kawasan sekitar.
Pemilihan Permatang Damar Laut sebagai lokasi program mencerminkan komitmen KITAB untuk meluaskan penganjuran program di seluruh negeri, bukan hanya di Daerah Timur Laut.
KITAB juga merancang untuk menjelajah ke semua daerah di Pulau Pinang bagi memperkenalkan institusi ini kepada masyarakat secara lebih meluas.
-ZS-