
Laporan/foto: Jaimis Kunjan (Tambunan)
TAMBUNAN, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Ranggom, Kirokot, Tambunan diarahkan untuk berpindah segera ke tempat selamat ekoran kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah yang berlaku di lereng bukit kampung berkenaan.

Keadaan rumah yang terletak berhampiran lereng bukit dikhuatiri akan runtuh.
Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil, berkata, arahan tersebut dikeluarkan khusus kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Kita mengarahkan agar semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko segera berpindah untuk memastikan keselamatan mereka. Keadaan tanah yang semakin terhakis dan kemungkinan cuaca buruk boleh menyebabkan risiko lebih besar,” kata Sobitun.
“Dalam masa yang sama, kita juga telah mengarahkan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) SESB untuk segera memindahkan tiang elektrik yang hampir tumbang akibat tanah runtuh dan kita berharap bantuan yang diperlukan dapat segera sampai untuk memastikan keadaan ini dapat diatasi dengan sebaiknya,” katanya ketika lawatan kerja ke kawasan bencana di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ranggom, Jauseh Kining, 63, berharap penyelenggaraan segera dapat dilaksanakan kerana bimbang kawasan bencana menjadi semakin teruk.

Jauseh (kanan) dan Sobitun (dua dari kanan) semasa membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh hari ini.
“Penyelenggaraan tebing bukit dan jalan ini perlu dilakukan segera kerana keadaan semakin membimbangkan dan kami berharap kerajaan, melalui Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, dapat membantu menyalurkan bantuan awal bagi kos penyelenggaraan sementara menunggu bantuan daripada kerajaan untuk pembaikan lebih besar,” katanya.
Untuk makluman, lawatan kerja ke tapak bencana bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan beberapa agensi lain ini juga diteruskan dengan meninjau lokasi kejadian bencana tanah runtuh yang berlaku sebelum ini melibatkan laluan jalan raya di Kampung Tiga.
Walaupun keadaan jalan di kampung tersebut didapati masih selamat untuk dilalui, pemantauan berterusan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) amat diperlukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
-RJ-