Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Fasiliti Hospital Kunak Memberi Manfaat Warga Setempat

By 14 Februari 2025Februari 17th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Roslan Rungan/Osman Sanudin (Kunak)

KUNAK, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Hospital Kunak yang beroperasi sejak 18 Mac 2006 menjadi rujukan utama dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di daerah tersebut dan sekitarnya.

Dilengkapi dengan kemudahan asas seperti Poliklinik Kesihatan pesakit luar dan wad pesakit, Hospital Kunak menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan yang merangkumi rawatan umum, pembedahan, obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta kecemasan.

Sesi temu ramah bersama Dr. Asbullah di Hospital Kunak hari ini.

Menurut Pengarah Hospital Kunak, Dr. Asbullah Hajdi Sudin, hospital ini dilengkapi fasiliti seperti X-ray, makmal, dan ICU, serta diakui berkesan dalam menangani kecemasan dengan sokongan anggota perubatan yang berkelayakan dan berdedikasi.

“Hospital ini mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 258 orang dan menjadi pusat perubatan utama di daerah Kunak yang mudah diakses melalui jalan utama yang menghubungkan Kunak dengan bandar dan pekan lain di Sabah seperti Tawau, Lahad Datu, dan Semporna.

“Dari segi kemudahan parkir yang mencukupi turut disediakan untuk pengunjung dan staf hospital,” jelasnya ketika di temui di Hospital Kunak di sini hari ini.

Suasana di Hospital Kunak dengan pesakit-pesakit yang sedang menunggu rawatan.

Tambahnya, hospital ini komited untuk memastikan setiap individu yang memerlukan rawatan perubatan dapat diberikan bantuan dengan segera.

“Perkhidmatan ambulans yang beroperasi 24 jam juga tersedia, dan sedia untuk digunakan bila-bila masa sama ada di sekitar Kunak atau untuk menghantar pesakit yang dirujuk ke Hospital Besar Tawau atau Hospital Lahad Datu.

“Hospital ini memberi impak yang sangat positif dan tepat pada masanya, terutamanya kepada komuniti Kunak yang selama ini menginginkan kemudahan tersebut.

Kami berharap agar pakar-pakar perubatan dalam pelbagai bidang dapat ditempatkan di Hospital Kunak bagi memenuhi keperluan semasa,” tambahnya.

Salah seorang pesakit luar, Bukhari yang ditemu bual di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang pesakit luar, Bukhari Sidik, 60, meluahkan rasa bersyukur kerana dapat memanfaatkan kemudahan di Hospital Kunak.

“Saya amat bersyukur dengan keprihatinan pihak kerajaan yang menyediakan fasiliti kesihatan untuk masyarakat di Daerah Kunak terutama merawat pesakit lanjut usia atau kurang berkemampuan,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda