
Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak
PUTRAJAYA, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Pertanian dan Keterjaminaan Makanan akan menyampaikan Kenyataan Menteri berkaitan isu harga lantai padi yang baharu pada minggu hadapan.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminaan Makanan bahawa beliau akan menyampaikan Kenyataan Menteri ataupun Ministerial Statements di Parlimen pada 13 hari bulan Februari, hari Khamis mengenai isu beras khusus berkait harga lantai bagi padi.
“Ini nanti akan disampaikan di Parlimen dan sejurus selepas kenyataan Menteri itu akan ada perbahasan,” kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadhil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu, berkata demikian di sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Pada 27 Januari lalu Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) melakukan demonstrasi sebelum menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di Wisma Tani, di sini meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas, berkata beliau faham mengenai isu tersebut dan telah pun meneliti memorandum berkaitan yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) selain turut berbincang bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
-ZS-