
Laporan/Foto: Penulis – Awangku Hamizan / Clarence Chin (Sarawak)
BELAGA (KAPIT), 7 Feb (MalaysiaAktif) – Daerah Belaga di sini bakal menjadi tumpuan pencinta seni mempertahankan diri apabila Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Cawangan Belaga menganjurkan Pertandingan Silat Tanding Tertutup dari 7 hingga 9 Februari 2025.
Acara tersebut berlangsung di Dewan Masyarakat Belaga akan menghimpunkan peserta dari pelbagai daerah di Sarawak.
Menurut Awang Rosman Awang Japar, 41 tahun yang juga Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Cawangan Belaga Merangkap Pengerusi Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kapit, pertandingan tersebut diadakan bukan sahaja untuk memperkenalkan seni silat kepada masyarakat Belaga tetapi juga bagi membentuk disiplin dalam kalangan anak muda serta mencari bakat baharu yang berpotensi untuk bertanding di peringkat SUKSA (Sukan Sarawak) atau SUKMA (Sukan Malaysia).

Rosman-Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Cawangan Belaga Merangkap Pengerusi Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kapit.
“Pertandingan ini dianjurkan untuk memperkenalkan sukan silat di daerah Belaga supaya lebih ramai ibu bapa dan masyarakat melihat kebaikan seni ini untuk anak-anak mereka.
Selain itu, kita juga mahu mencungkil bakat baharu serta mengeratkan silaturahim antara perguruan Helang Putih dan perguruan lain yang dijemput,” jelasnya.

Peserta yang bertanding dalam kategori Silat Olahraga mengikut peringkat umur.
Seramai 149 peserta dari Kapit, Sarikei, Sibu, Miri, dan Belaga bertanding dalam kategori Silat Olahraga mengikut peringkat umur iaitu Kapit (17 peserta), Sarikei (15 peserta), Sibu (12 peserta), Miri (55 peserta) dan Belaga (50 peserta).
Dengan penganjuran acara ini, Belaga semakin dikenali sebagai pusat perkembangan seni silat, sekali gus memperkukuh warisan budaya tempatan serta melahirkan atlet berbakat dalam seni mempertahankan diri.
-RJ-